Sajat dakwa diserang secara seksual dan hampir diliwat di kedainya di Melbourne
Gambar fail menunjukkan Sajat ketika pembukaan kedainya di Melbourne, Australia. - Foto AGENSI
AUSTRALIA: Usahawan kosmetik Malaysia yang melarikan diri ke Australia, Nur Sajat, mendedahkan beliau diserang secara seksual di salun kecantikannya di negara ini pada 17 Februari lalu.
Sajat berkongsi kejadian itu ketika siaran langsung di laman sosialnya di mana dia berkongsi butiran mengerikan tentang bagaimana seorang lelaki Timur Tengah setinggi 187 sentimeter (cm) masuk ke salunnya dan cuba merogolnya.
Katanya, ketika kejadian dia sedang merawat pelanggan wanita yang datang untuk perkhidmatan 'waxing' seluruh badan.
"Pelanggan wanita itu sepatutnya menjadi pelanggan terakhir pada hari itu, dan dia segera beredar selepas mendapatkan rawatan di kedainya.
"Semasa pelanggan wanita itu pergi, penyerang masuk ke salun dan mengunci pintu depan untuk menghalang pelanggan baharu daripada masuk.
"Serangan seksual itu kemudian berlaku di dalam bilik di salun kecantikan, jauh dari pintu depan," katanya.
Sajat berkata, lelaki itu pernah berkunjung ke salunnya sebelum ini dan datang semula pada hari kejadian untuk mendapatkan khidmat 'waxing' kening.
Bagaimanapun, selepas dia menyapu kening lelaki itu, penyerang bertindak menutup pintu bilik dan menariknya sambil memberitahu bahawa dia meminati Sajat.
"Saya merayu untuk berhenti tetapi dia tetap berkeras.
"Dia kemudian menampar muka saya selepas saya menyatakan bahawa salun saya mempunyai banyak kamera litar tertutup (CCTV) tersembunyi, kerana dia beranggapan salun saya tiada CCTV.
"Dia juga mencekik saya dan saya memutuskan untuk tidak melawan kerana bimbang dicederakan atau dibunuh," katanya menerusi siaran itu, namun tidak dapat meneruskan ceritanya kerana sebak.
Sajat berkata dia kemudian membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan daripada ahli terapi serta kerajaan Australia.
Sejak kejadian itu, salunnya masih ditutup kerana kebimbangan dan kemurungan selain masih bergelut untuk sembuh daripada trauma.
"Pihak profesional kesihatan mental dan kerajaan Australia membantu saya untuk bangkit semula dengan memberi pampasan dan membayar sewa sementara kedainya ditutup," katanya.
Dalam pada itu, penyerang berkenaan ditahan polis selepas Sajat membuat laporan dan memberikan rakaman CCTV kejadian itu kepada pihak berkuasa. - AGENSI

Comments
Post a Comment