Syamsul Yusof, Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy digugurkan daripada projek filem prekuel Mat Kilau

Filem epik mega, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencetuskan fenomena apabila meraih jualan tiket RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

KUALA LUMPUR: Dengan rekod jualan tiket tertinggi dalam sejarah perfileman negara iaitu RM97 juta melalui tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei, tidak hairanlah, tumpuan peminat terarah kepada kesinambungan filem box office, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Sebelum ini, penerbit, Studio Kembara Sdn Bhd dilaporkan bakal menghasilkan prekuel kepada filem berkenaan dengan penggambaran dikatakan bermula Disember tahun lalu atau awal tahun ini.

Mendapatkan perkembangan terkini projek itu, Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali, berkata naskhah prekuel itu masih dalam pembikinan, namun syarikat memilih untuk tidak berkongsi butiran lanjut sehingga filem siap.

"Kita masih dalam proses pembikinan. Saya sedang membiasakan diri untuk tidak menghebahkan perkembangan filem itu sebelum siap sepenuhnya. 

"Cara begini biasa dilakukan penggiat industri perfileman negara maju. Selagi filem terbitan mereka belum sempurna sepenuhnya, mereka tidak dedahkan.

"Hanya apabila filem siap dan menunggu masa untuk ditayangkan, baru mereka berkongsi kepada khalayak," katanya kepada BH Online.

Oktober lalu, Abdul Rahman mengejutkan peminat apabila mengesahkan projek filem prekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tidak membabitkan tiga tunjang utama iaitu pengarah, Syamsul Yusof serta dua pendukung watak iaitu Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy.

Abdul Rahman dilaporkan berkata, watak Mat Kilau Imam Rasu lakonan Adi dan Wahid yang dihidupkan Beto dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, tidak ada kena-mengena dengan jalan cerita projek prekuel naskhah berkenaan.

Abdul Rahman berkata, syarikat memilih tidak berkongsi maklumat mengenai projek filem prekuel Mat Kilau kerana tidak mahu proses pembikinan naskhah itu terganggu sehingga menjejaskan kelancaran penggambaran.

Tambahnya, syarikat bukan mahu berahsia atau serik dengan pelbagai kontroversi yang tercetus daripada filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sehingga enggan berkongsi maklumat terkini penghasilan projek berkenaan.

"Keputusan tidak mendedahkan perkembangan penggambaran filem dibuat atas beberapa faktor.

"Kalau kita dedahkan lebih awal, mungkin macam-macam boleh terjadi. Selagi proses penggambaran belum selesai, saya rasa tidak wajar berkongsi mengenainya.

"Disebabkan saya sudah mengeluarkan kenyataan (mengenai projek filem prekuel Mat Kilau), sekali lagi saya ingin memaklumkan syarikat kami sedang berusaha menghasilkannya.

"Insya-Allah filem itu akan ditayangkan sama ada pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya suku pertama 2024," katanya.

Abdul Rahman berkongsi, filem prekuel Mat Kilau masih dalam pembikinan, namun memilih untuk tidak berkongsi butiran lanjut sehingga filem siap.
 
Mengulas spekulasi filem prekuel Mat Kilau membariskan pelakon baharu dan kurang dikenali untuk memegang watak utama, Abdul Rahman memberi jaminan biar siapapun pelakonnya, syarikat tidak berkompromi dengan bakat dan kualiti.

"Saya menjanjikan sebuah filem yang bagus. Secara logiknya, apabila hendak hasilkan filem bermutu , pasti kita mencari pelakon yang bagus.

"Kalau ada pelakon baharu pun, sudah tentu mereka pelakon bagus dan berbakat besar.

"Kita tidak akan berkompromi soal kualiti. Itu menjadi inti pati serta perkara asas yang membuahkan kejayaan filem ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, syarikat menganggap tiada keperluan untuk memberi penjelasan kepada mana-mana pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang digugurkan daripada projek filem prekuel.

"Saya sudah keluarkan kenyataan keputusan tidak mengekalkan pelakon asal dalam projek filem prekuel dibuat kerana tiada kena-mengena dengan jalan cerita naskhah terdahulu.

"Jadi, rasanya, tidak perlu saya jelaskan secara peribadi mengapa nama mereka tidak terpilih untuk filem prekuel ini," katanya.

Baru-baru ini, Adi mengesahkan tidak terbabit dalam pembikinan filem prekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Adi dilaporkan akur dengan keputusan penerbit selepas menerima kenyataan dikeluarkan Studio Kembara Sdn Bhd berhubung perkara itu.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menyingkap kisah pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya, Tok Gajah dan sahabat lain dalam menentang penjajahan British.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadapan British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit.

Terdahulu, filem epik mega, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencetuskan fenomena apabila meraih jualan tiket RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Menjadi filem pecah panggung dengan kutipan tertinggi bagi kategori tempatan dan antarabangsa selepas filem Munafik 2 dan Avengers: End Game.

 

 

 
 
 

Comments