Anak terpaksa jalani pembedahan mata akibat Lazy Eye Kerana Kerap Main Phone

Disebabkan ada yang bertanya bagaimana anak saya (Fateh Anaqi) melalui proses pembedahan mata Lazy Eye, saya akan kongsikan kepada umum secara lengkap.

Ketika Anaqi dilahirkan ke dunia ini pada 7 Feb 2017, kedua-dua matanya normal.

Anaqi ada tabiat apabila menonton televisyen, bermain komputer atau telefon, matanya terlalu hampir dengan skrin. Tambahan pula kami tidak pernah mengawal untuk dia melakukan perkara tersebut. Itu adalah kesalahan kami. 😥

Sehingga umurnya mencecah 4 tahun, saya dan isteri mula perasan mata kiri Anaqi ada lari sedikit. Ya, sangat sedikit. Kami merasakan perkara tersebut hanya sementara dan akan hilang dengan sendirinya.

Setelah beberapa bulan, mata kanan Anaqi pula lari. Lama kelamaan, matanya semakin teruk.

Kami bawa dia ke Pusat Pakar Mata Oasis di Bangsar. Pusat ini memang agak tinggi sedikit harganya tapi bukan itu sebagai ukuran kami tetapi kepakarannya yang kami mahukan.

Doktor menasihati supaya Anaqi melakukan latihan mata setiap hari dengan menggunakan pensel dan eye patch.

1 tahun berlalu usaha itu tidak membuahkan hasil yang positif.

Saya mula mencari maklumat di dalam laman sesawang.

Apa yang dapat saya simpulkan, hampir ke semua pesakit menasihati supaya pesakit Lazy Eye melakukan pembedahan segera sebelum usianya mencecah 7 tahun kerana pada usia tersebut anak akan mula masuk ke sekolah rendah dan akan berhadapan dengan kawan yang ramai. Khuatir anak tersebut akan di ejek dan ia boleh mendatangkan rasa rendah diri dan murung untuk dia ke sekolah lagi.

Saya pergi semula ke Pusat Pakar Mata Oasis untuk bertanyakan berapa kos pembedahan tersebut. Doktor memberitahu bahawa kosnya mencecah RM7000 dan boleh dilakukan bila-bila masa.

Cuma doktor di pusat tersebut tidak berani melakukannya kerana mereka tiada doktor pakar bius memandangkan umur Anaqi baru berusia 5 tahun. Untuk makluman, pembedahan mata bagi kategori Lazy Eye memerlukan bius sepenuh badan.

Jadi, saya meminta untuk doktor tersebut membuat 1 surat rujukan secara lengkap untuk saya bawa kepada Hospital Besar Kuala Lumpur.

Apabila surat itu saya bawakan kepada Doktor Pakar Mata di HKL, beliau sudah tahu apa yang perlu dibuat.

Ya, Anaqi perlukan pembedahan. Cuma Anaqi perlu melalui “check up” setiap 4 bulan dan sebanyak 3 kali. Bermakna selama 1 tahun Anaqi wajib di pantau keadaan matanya supaya statik. Dalam tempoh 1 tahun itu, mata Anaqi mestilah tidak boleh bertambah buruk, atau pun bertambah baik. Ianya mesti statik supaya doktor tahu itulah tahap maksima mata Anaqi lari.

Setelah 1 tahun berlalu, usia Anaqi 6 tahun, doktor telah mendapatkan keputusan yang tepat di mana kedudukan otot mata Anaqi akan di bedah.

Anaqi akan di bedah pada otot mata di bahagian tepi kiri dan kanan supaya dapat dilonggarkan. Untuk makluman pembaca, pesakit Lazy Eye mempunyai tabiat terlalu fokus pada sesuatu objek itu sehinggakan otak tak mampu mengawal otot pada matanya. Jadi otot itu mesti dilonggarkan kerana terlalu ketat.

Sehari sebelum pembedahan, Anaqi dimasukkan ke dalam wad untuk pemantaun kesihatan. Dia tidak boleh demam, batuk atau apa sahaja infeksi.

6 jam sebelum pembedahan, Anaqi kena berpuasa.

Tiba bilik pembedahan, Anaqi diberi pilihan untuk ditidurkan menggunakan gas melalui pernafasan atau melalui suntikan. Sedikit pun Anaqi tidak takut dan memilih untuk ditidurkan melalui gas pernafasan.

5 minit selepas itu Anaqi tertidur. Ketika ini doktor memberi kebenaran untuk ibu atau ayah penjaga memberi kucupan terakhir kepada anak sebelum pembedahan bermula. Yang ni agak sayu beb. 😭

Pembedahan mengambil masa 1 jam sahaja.

Selepas 1 jam pembedahan, Anaqi dibawa keluar dari bilik pembedahan. Ketika ini ibu atau ayah penjaga perlu mengejutkan anak supaya bertindak balas. Alhamdulillah Anaqi bertindak balas walau dalam keadaan separuh sedar.

Doktor minta ibu atau ayah memantau anak sehingga benar-benar sedar dan mampu untuk membuka matanya dengan sendiri.

4 jam kami ambil masa untuk menunggu Anaqi sedar sepenuhnya. Ketika itu, Anaqi membuka matanya walau agak pedih katanya.

Ajaibnya mata Anaqi lurus seperti sediakala. Cuma di bahagian tepi kiri dan kanan bola mata Anaqi ada kesan merah dan darah terkumpul. Kata doktor, itu hanya kesan pembedahan dan ianya akan hilang dalam tempoh beberapa minggu atau bulan.

Selepas itu, Anaqi boleh terus pulang.

Ubat yang diberi, “eyemo” dan ubat krim untuk alahan.

Anaqi tidak akan berasa selesa buat beberapa hari kerana dalam bola mata Anaqi ada benang yang telah dijahit pada otot mata.

Usah bimbang, benang tersebut akan rapuh dengan sendirinya dalam masa 1 atau 2 minggu.

Bayaran yang dikenakan oleh pihak HKL adalah sebanyak RM53 sahaja.

Ya, murah dan tak masuk akal. Itulah kebaikan dan keperihatinan kerajaan kita yang tidak ada di mana-mana di dunia ini. Alhamdulillah syukur jadi rakyat Malaysia.

Kata doktor, ramai yang tidak tahu, sekarang negara kita sudah ada doktor pakar dalam bidang ini. Tidak perlu keluar negara lagi. Negara kita juga ada kepakaran dan peralatan canggih untuk melakukan pembedahan Lazy Eye.

Hari ini genap 1 bulan Anaqi mempunyai mata baru. Matanya sudah kembali normal. Lurus dan pandangannya jelas. Merah dan darah kesan dari pembedahan sudah semakin hilang.

Kami bersyukur Anaqi sudah selamat seperti sediakala. Terima kasih doktor di HKL kerana berjaya melakukan pembedahan yang sangat berisiko ini. Terima kasih juga atas doa kalian semua.

Alhamdulillah, terima kasih Tuhan. Amin.

Semoga tulisan ini bermanfaat buat kalian. Terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog

[VIDEO] Isteri Beria Peluk Cium suami Di Petang Raya Untuk Kali Terakhir Buat Ramai Sebak, Isteri Akur Akan Berpisah

[VIDEO] Jelir Lidah ‘Menganjing’, Peninju Thailand Rebah Kena Pukulan K.O Remaja Malaysia