Puteri Sarah Menyesal Tak Rakam Perbualan Dengan Syamsul ‘Kaki Spin’
PELAKON Puteri Sarah Liyana menyesal kerana tidak merekodkan perbualan ketika mengadakan perbincangan bersama suami iaitu Syamsul Yusof bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka pada 9 April lalu.
Mendedahkan menerusi Instastory, Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, mencadangkan kepada Syamsul untuk merekodkan pertemuan itu menggunakan video kerana bimbang timbul kekeliruan di kemudian hari.
Bagaimanapun pengarah filem Mat Kilau itu menolak cadangan tersebut kerana segala syarat dan perjanjian yang dibincangkan sudah direkod secara bertulis.
“Menyesal tak rekod video masa berbincang malam tu. Saya patut tahu kaki pusing punya cerita. Tak mengapalah.
“Bulan Ramadan, Allah ada untuk jaga saya dan anak-anak. Selamat berbuka semua,” katanya.
Sebelum itu, Puteri Sarah berkongsi paparan skrin mesej perbualannya dengan Syamsul di Instastory.
Dalam mesej berkenaan, Syamsul bersyukur kerana Puteri Sarah sudi berjumpa dan duduk berbincang.
“Alhmdulillah kita duduk sama-sama berbincang.
“Record apa pun tak perlu. Semua tulis atas kertas sama-sama tengok,” jawab Syamsul menerusi aplikasi WhatsApp.
Pada Selasa lalu, Puteri Sarah mendedahkan dia tidak pernah berjanji untuk menarik saman terhadap keluarga madunya iaitu Ira Kazar semasa berbincang dengan Syamsul.
Pelakon drama Andai Itu Takdirnya ini menjelaskan dia tidak mahu Syamsul mencampuri tindakan dia memfailkan saman terhadap keluarga Ira memandangkan perkara tersebut di antara dirinya dan madunya itu.
Puteri Sarah membuat pendedahan itu selepas Syamsul mendakwanya menghantar syarat dan terma penceraian baharu pada saat akhir yang bertentangan dengan persetujuan mereka sebelum ini.
Ini termasuk persetujuan Puteri Sarah menarik balik saman terhadap Ira dan isu berkaitan sejumlah wang yang sudah dipersetujui.
Disebabkan itu, Syamsul enggan melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Klik sini untuk close



Comments
Post a Comment