[Video] Aliff mengamuk dakwa Yana enggan bayar RM400,000 lepas pecahkan pasu

 



Klip video yang dimuat naik usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri di Instagram petang tadi memaparkan pergaduhan antara dirinya membabitkan pasangan selebriti Yana Samsudin dan Fadzil Fariz menimbulkan tanda tanya ramai.

Kelihatan keadaan kelam kabut manakala Yana seperti berusaha menenangkan suaminya yang sedang marah.

Aliff kelihatan berang dan bertindak meninggikan suara meminta pasangan selebriti berkenaan mengganti sesuatu yang didakwa perhiasan mewah yang rosak di kediamannya.

Klip video itu mengundang rasa ragu dikalangan warga net yang menyifatkan persengketaan itu hanya sebagai gimik.

Begitupun, difahamkan kejadian berlaku selepas Aliff berang dengan Yana yang didakwa memecahkan sebuah pasu hiasan berharga hampir RM400,000 yang dibeli melalui jualan lelong di China.

Menurut penerbit satu program raya terbitan stesen swasta iaitu Alif Farhan, kejadian itu berlaku di rumah Aliff pada dua minggu lalu.

“Saya bertindak selaku penerbit rancangan yang akan disiarkan pada hari raya nanti.

“Rumah Datuk Aliff menjadi lokasi penggambaran program kami kerana sesuai dengan konsep yang ingin diterbitkan.

“Yana pula adalah hos program berkenaan dan ketika penggambaran sedang dijalankan, dia tidak sengaja terlanggar sebuah pasu hiasan di ruang tamu rumah Datuk Aliff.” katanya yang masih mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu itu.

Tambahan pula, Alif memaklumkan proses penggambaran masih belum selesai dan tertangguh disebabkan permasalahan yang timbul.

Usaha Harian Metro mendapatkan maklum balas berhubung kejadian itu tidak berhasil apabila mereka gagal dihubungi setakat ini.

Comments