Hafidz Roshdi lapor polis Nurul Shuhada gugurkan kandungan

Pelakon Hafidz Roshdi, 29, sedih apabila dimaklumkan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, mengalami keguguran pada 23 April lalu.
Berikutan itu, Hafidz ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, berkata dia sudah membuat laporan polis bagi siasatan lanjut berkaitan perkara tersebut.
“Saya sedih terima berita Nurul Shuhada alami keguguran anak ketiga pada 5 Mei lalu.
“Sekarang semuanya dalam siasatan sebab saya sudah membuat laporan polis mengenai keguguran ini.
“Jadi, saya berharap semoga semuanya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada BH Online.
Mengulas lanjut mengenai laporan polis dibuat, Hafidz mendakwa, dia pernah menerima mesej Nurul Shuhada yang meminta izin untuk menggugurkan kandungannya.
“Saya dapat tahu mengenai kehamilan selepas Nurul Shuhada menghantar mesej. Dalam kiriman WhatsApp, Nurul Shuhada memberitahu dia mahu menggugurkan kandungan.
“Jadi, saya buat laporan polis berkaitan perkara itu.
“Alasannya, panjang. Tetapi, salah satunya mahu fokus dengan kehidupan baharu. Lagi satu, dia akui mahu membela dua cahaya mata pun sudah setengah mati, tambah pula jika ketiga.
“Tetapi tahu-tahu sahaja, Nurul Shuhada sudah keguguran. Bila dapat tahu keguguran, saya terpaksa membuat laporan untuk polis buat siasatan,” dakwanya.
Hafidz mendakwa, dia pernah menghalang Nurul Shuhada meneruskan hasratnya untuk menggugurkan kandungan.
“Nurul Shuhada minta saya duit untuk kos pengguguran. Saya tak tahu sebab tiada bukti resit atau hospital. Jadi, saya kena tahu mengenai itu.
“Saya tak setuju Nurul Shuhada gugurkan kandungan. Saya sudah menghalangnya dan cakap, jangan gugurkan. Jaga baik-baik (kandungan) sebab saya akan bertanggungjawab.
“Saya halang melalui mesej di WhatsApp ketika dia mesej saya. Selepas berita keguguran, saya tidak menghubunginya lagi,” dakwanya.
Peguam Syarie yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada peguam Nurul Shuhada sebelum berita keguguran tular.
“Kami sudah menulis kepada peguam defendan serta merta selepas Hafidz menerima kiriman WhatsApp daripada defendan mengenai hasrat menggugurkan kandungan.
“Kami hantar surat pada 7 April lalu dan katanya, tarikh gugurkan pada 8 April lalu.
“Hafidz kemudiannya membuat laporan polis pertama, mengatakan bahawa dia menerima kiriman mesej isterinya dan tidak bersetuju dengan cadangan menggugurkan kandungan.
“Apabila mendapat tahu berita keguguran, Hafidz terperanjat dan terfikir sama ada ini kebetulan atau sebaliknya.
“Jadi, Hafidz membuat satu lagi laporan polis mengatakan ini adalah satu kesalahan jenayah yang mana melakukan keguguran dengan sengaja. Kami mahu pihak polis menyiasat,” katanya.
Pagi tadi adalah prosiding bagi sebutan pengesahan lafaz cerai Hafidz terhadap isterinya, Nurul Shuhada, bagaimanapun mahkamah menetapkan 20 Jun sebagai tarikh baharu untuk prosiding seterusnya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 9 Mei bagi sebutan semula kes cerai Hafidz dan Nurul Shuhada.
Ini kerana terdapat isu baru apabila Nurul Shuhada mendakwa suaminya melafazkan cerai terlebih dahulu melalui aplikasi WhatsApp pada 22 Januari lalu.
Berikutan itu, Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan 9 Mei selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai tersebut.
Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.
Seterusnya, pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.
Hafidz membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.
Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk Nurul Shuhada menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Mahkamah kemudian membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000, selain turut memerintahkan Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.
Comments
Post a Comment