[VIDEO] Member terjumpa Muka sama di Universiti, keluarga setuju untuk buat ujian DNA test untuk kepastian
Bagaikan kisah dalam sinetron, dua
keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan
20 tahun lepas, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian
petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.
Lebih memeritkan, kejadian itu hanya
disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, ‘kembarnya’ Adryana
Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, telah dewasa dan
disahkan September tahun lepas selepas ujian asid deoksiribonukleik
(DNA) dilakukan.
Adryani Iwani berkata kejadian itu mula terbongkar semasa dia berada di tingkatan empat sewaktu mengikuti kem motivasi apabila secara tidak sengaja berjumpa dengan pelajar dari sekolah lain yang mendakwa mukanya seiras dengan rakan sekolah mereka, Noratirah.
“Saya kemudian meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum dia berkongsi akaun Instagram Noratirah yang dikatakan seiras dan sebaya dengan saya.
“Apabila saya maklumkan perkara itu
kepada kakak, dia mengiakan persamaan ketara wajah kami, namun mama
(panggilan untuk ibu) berpandangan sebaliknya menyebabkan saya tidak
ambil peduli selepas itu dan menganggapnya seperti pelanduk dua serupa,”
katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagaimanapun bagaikan telah
ditakdirkan, mereka akhirnya bertemu buat kali pertama secara bersemuka
di Karnival Jom Masuk U di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Mac 2019
menyebabkan masing-masing terpana apabila melihat persamaan yang ketara
dari segi wajah dan tubuh badan.
“Saya terkejut, sebelum ini hanya
dengar daripada kawan-kawan kata ada orang muka sama dengan saya, sekali
tengok, eh…betullah ada orang muka serupa dengan saya. Belum pernah
lagi saya berhadapan dengan perkara sedemikian,” katanya.
Menurutnya, akibat terlalu terkejut
masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain dan berlalu tanpa
menyapa, namun perkara itu disedari oleh rakan-rakan yang lain.
Katanya, kejadian itu tidak berakhir
di situ dan ia berlarutan hingga Ogos tahun lepas apabila seorang
rakannya memaklumkan tarikh lahirnya sama dengan Noratirah iaitu pada 19
Ogos selepas dia memuat naik dalam media sosial gambar majlis sambutan
hari lahirnya yang diadakan di rumah.
Menurutnya, Noratirah kemudian
menghubunginya melalui Instagram dan bertitik tolak daripada itu, banyak
perkara dibincangkan dan mendapati terlalu banyak persamaan untuk
disifatkan sebagai kebetulan menyebabkan mereka mengambil keputusan
untuk melakukan ujian DNA.
“Selepas berbincang, kedua-dua
keluarga sepakat melakukan ujian DNA di Hospital Universiti Sains
Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mengenal pasti sama ada
terdapat pertalian antara kami,” katanya.
Pelajar Diploma Kejururawatan
berkenaan menjelaskan, ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah
melibatkan dirinya, ibunya Siti Aminah Ismail, 66, Adryana Iwani,
Noratirah dan ‘bapa’ Noratirah, Husin Omar.
“Apabila keputusan keluar, kami amat
terkejut terutama mama yang terduduk dan menangis setelah mengetahui
keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah
ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti
Aminah.
“Adryana Iwani yang sebelum ini
didaftarkan sebagai pasangan kembar saya pula ialah anak kandung kepada
Husin Omar dan Rahmah Isa (telah meninggal dunia pada 2018) yang sebelum
itu telah membesarkan Noratirah,” katanya.
Sementara itu, kakak Adryani Iwani,
Ayu Haryani, 42, pula berkata ibu mereka memaklumkan, doktor yang
bertugas tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan ketika
itu adalah kembar seiras atau sebaliknya.
“Tetapi disebabkan tag nama di kaki
kedua-dua mereka nama mama, jadi keluarga kami tidak pernah terfikir
tentang perkara itu dan beranggapan mereka kembar tidak seiras,”
katanya.
Ayu Haryani berkata berdasarkan rekod
pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti
Adryana Iwani pukul 1.27 pagi dan kemudian Adryani Iwani 1.34 pagi.
Menurutnya, apabila diketahui
keputusan ujian DNA, ibu mereka tidak dapat menerimanya dan pada
peringkat awal, perkara itu juga tidak didedahkan kepada sesiapa pun
kerana risau ia memberi kesan psikologi terutama kepada Adryana Iwani.
Katanya, walaupun keputusan ujian DNA
sudah diketahui, Ayu Haryani berkata keluarganya itu tetap menganggap
Adryana Iwani sebahagian daripada sembilan adik-beradiknya dan akan
memintanya untuk terus tinggal bersama memandangkan adik-beradik
kandungnya yang lain semuanya sudah berkahwin.
“Ibu kandungnya pula sudah tiada
manakala ayahnya meninggal dunia selepas dua bulan ujian DNA diketahui,”
katanya dan menambah mereka sekeluarga telah melantik peguam dan kini
dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang
berkenaan.
Pada masa sama juga Noratirah yang
sebelum ini tinggal bersama ‘ayahnya’ di Kampung Pulau Kundur, Kota
Bharu telah berpindah tinggal bersama keluarga kandungnya di Kampung
Langgar, Kota Bharu sejak Januari lepas.
Klik sini untuk close
Comments
Post a Comment